HIV AIDS

Angkara Nafsu Serakah Suami Durjana!

Apabila disebut tentang isu HIV/AIDS, ia sebenarnya bukan isu lapuk yang harus dipandang sebelah mata. Malah, tidak seperti penyakit bawaan virus lain, graf penyakit tersebut sentiasa menunjukkan kenaikan setiap tahun.

Menurut statistik 2011 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesehatan Malaysia (KKM), seramai 94,841 orang telah dijangkiti HIV/AIDS. Angka tersebut, menurut pengiraan oleh UNICEF perlu didarab dengan 10. Walau bagaimanapun mengambil kira situasi setempat, di Malaysia jumlah tersebut hanya didarab dengan 5 dan ini bermakna hampir 0,5 juta rakyat Malaysia adalah pengidap HIV/AIDS. Bukan satu angka yang kecil!

Daripada jumlah tersebut 17,893 adalah di kalangan pengamal heterosexual dan 65,028 kes adalah disebabkan penyalahgunaan dadah (IVDU).

Tetapi yang lebih menakutkan ialah berlaku peningkatan ketara kepada wanita disebabkan oleh pasangan mereka (suami penagih dadah atau pengamal seks bebas).

Era Muslimah telah berkesempatan berziarah ke RUMAH SOLEHAH (RS), rumah perlindungan untuk pesakit HIV/AIDS dan bertemu bual Matron Fadzilah Abdul Hamid, pegawai Sumber Manusia dan Latihan (RS).

 

"Memang tidak dinafikan berlaku peningkatan ketara HIV/AIDS, dikalangan wanita. Kalau dahulu nisbah penghidap HIV/AIDS di antara wanita dan lelaki ialah 1:5 tetapi kini menjadi 1:4. Sebenarnya apabila kita bercakap mengenai isu HIV/AIDS ini, ia sebenarnya sangat kritikal. Ini kerana ia tidak seperti penyakit yang lain yang grafnya menurun. Malah kalau ada penurunan, ia bermaksud tiada kes baru dan bukannya menurun.

Hal ini disebabkan penyakit ini berkait dengan perlakuan manusia itu sendiri. Walau bagaimanapun terdapat peningkatan ketara terhadap pesakit wanita. Mereka mendapatnya daripada pasangan masing-masing (suami yang memang dijangkiti sama ada akibat dadah atau mengamalkan seks rambang) ataupun disebabkan tabiat seks mereka sendiri. Perlu diingat, penyakit ini mula dikesan sejak tahun 1986 di negara kita justru tidak hairanlah ia boleh tersebar dalam jangka masa 26 tahun itu".

Ditanya apakah punca utama penyebab merebaknya penyakit tersebut dikalangan wanita, Matron Fadzilah tidak menafikan ia sebenarnya berpunca daripada sikap, kurangny pendidikan agama serta keruntuhan institusi keluarga.

"Sebenarny ramai dikalangan kita masih mengambil sikap tidak peduli atau jahil berkaitan isu ini. Ramai yang berpendirian, 'saya sudah berkahwin justeru tiada apa yang perlu dirisaukan'. Sikap terlalu mempercayai pasangan walaupun pasangan tersebut diketahui terlibat dengan pengambilan dadah atau perlakuan seks rambang akhirnya akan memudaratkan diri sendiri.

 

 

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana kini telah terdapat perubahan kesedaran yang ketara dikalangan masyarakat. Hal ini disebabkan pengetahuan tentang HIV/AIDS ini semakin luas.

Begitu juga dengan faktor kurangnya pendidikan agama. Jelas Fadzilah, kebanyakn kes yang datang kepadanya adalah terjadi daripada mereka yang berlatarbelakangkan keluarga yang mengalami masalah. Justeru, kebanyakan mereka tidak mempunyai pendidikan agama yang mantap.

"Walaupun ada yang berpendidikan agama namun, ia sekedar satu pelajaran dan tidak diamalkan dalam kehidupan. Namun Alhamdulillah, setelah dimasukkan ke RS, mereka cuba kembali menghayati ajaran agama dan sebagai orang bertanggungjawab menyelia mereka, perubahan mereka ini amat menggembirakan saya. Dan apabila pelatih masuk ke sini, kami tidak lagi mahu mereka memikirkan apa yang telah dilakukan di masa lalu tetapi kita menekankan perubahan yang akan mereka lalui".

Menyentuh mengenai keberkesanan program ujian HIV/AIDS sebelum perkahwinan sebagai proses screening test, Matron Fadzilah menjelaskan ada pendapat yang mengatakan ia kurang berkesan. Ini karena penyakit tersebut tidak akan menunjukkan sebarang simptom dalam tempoh enam bulan.

"Jadi jika virus itu tidak dikesan sewaktu ujian dijalankan, tidak bermakna virus tersebut tidak ada. Malah ia akan mungkin hanya dapat dikesan selepas tempoh enam bulan atau lebih lama lagi. Keduanya, mungkin pasangan ini terlibat dengan masalah seks haram selepas perkahwinan. Sebab itulah apa yang penting ialah setiap individu perlu ada kesedaran bahawa zina itu adalah larangan Allah dan berusaha menjauhinya".

Berkongsi kisah sebagai iktibar, beliau menceritakan satu kisah yang wajar diberi perhatian oleh setiap wanita agar tidak bersikap terlalu naif.

"Terdapat satu kes iaitu si suami merupakan pekerja dengan syarikat pembekal tenaga di ibu kota, manakala isterinya pula ialah seorang guru di Selatan tanah air. Mereka jarang berjumpa, hanya di hujung Minggu. Si suami ini terlibat mengadakan hubungan seks dengan bekas pelatih RS yang sudah mendapat AIDS dan dibenarkan pulang kerana sudah tiada harapan untuk pulih dan ingin menghabiskan usianya di kampung halaman. Tak dapat nak digambarkan apakah yang akan berlaku terhadap istri lelaki berkenaan yang sah-sah menjadi mangsa keadaan. Hanya kerana wujudnya peluang si suami mengambil tindakan yang bukan sahaja membahayakan nyawanya malah isteri yang tidak berdosa", ujarnya penuh kesal.

Berdasarkan besaarnya angka kes yang dicatatkan maka sudah semestinyalah masyarakat dan pihak yang berwajib memandang serius masalah HIV/AIDS ini. Seharusnya kempen kesedaran menjalani kehidupan yang sihat serta berlandaskan agama ditekankan kepada setiap ahli masyarakat.

"Bagi yang beragama Islam, perlu sedar bahawa zina itu perkara yang dilarang Allah dan seharusnya sebagai seorang Islam kita perlu menjadi seorang Islam yang mengamalkan apa yang diajar oleh Islam", ujarnya menutup bicara.

Hits: 3559